Thursday, March 29, 2012

Disleksia

copy from http://shaza79.blogspot.com/2010/03/disleksia.html for my easy reference.

500,000 kanak-kanak di negara ini hidap disleksia dan ada tidak disedari ibu bapa


RAKAN sebaya anak anda seronok setiap pagi untuk ke sekolah, tetapi anak anda bersikap sebaliknya. Jika menghadapi masalah sebegitu, anda dinasihatkan supaya mencari jawapan di sebalik alasan diberikan bagi mengenal pasti masalah dihadapi.

Kerap gagal dalam ujian diberikan, selain gagal mengikuti pengajaran guru menyebabkan kanak-kanak itu sering dilabelkan sebagai murid lembab dan nakal, sekali gus memberikan kesan mendalam kepada murid berkenaan yang rata-ratanya mereka sendiri mungkin tidak tahu bagaimana untuk diluahkan kepada ibu bapa atau guru, apa sebenarnya yang mereka hadapi.

Tanda yang ditunjukkan anak berkenaan, mungkin sebenarnya disebabkan masalah lain termasuk menghidap disleksia yang memungkinkan berlaku kesukaran kepada hidupnya kerana kanak-kanak disleksik bermasalah dari segi pembelajaran.

Maklumat yang menakutkan, apabila anak berkenaan tidak dibantu pada peringkat awal lagi, beliau akan menjadi remaja bermasalah. Sungguhpun ramai orang ternama dunia termasuk Albert Einstein, Winston Churchill, Walt Disney, Tom Cruise, Leonardo Da Vincci, selain data menunjukkan kira-kira 30 peratus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat ternama juga adalah disleksik yang membuktikan penghidap disleksia boleh menikmati kehidupan cemerlang, pada masa sama kajian di Amerika Syarikat (AS) mendapati 50 peratus banduan di negara itu adalah penghidap penyakit berkenaan.

Senario itu membuktikan kanak-kanak yang dibantu boleh menjadi manusia berguna, sebaliknya sekiranya dibiarkan begitu saja, boleh memberikan kesan negatif pada masa depannya.

Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin, berkata sungguhpun isu berkenaan menjadi masalah 'cukup tua' dikesan di dunia, kesedarannya masih berada di takuk lama yang mana ibu bapa, malah guru masih belum memahami sepenuhnya dan kanak-kanak disleksik terus terbiar tanpa bantuan.

"Kanak-kanak disleksik masih ramai terabai kerana masih ramai guru yang gagal memahami karakter disleksia. Sekiranya mereka mengetahuinya, mereka tidak memiliki kemahiran khusus. Dengan kekurangan tenaga pengajar yang mahir, kanak-kanak yang sepatutnya mendapat tunjuk ajar khusus, sebaliknya bercampur satu kelas dengan murid normal.

"Apabila bercampur, mereka sudah pasti tidak menunjukkan prestasi membanggakan, sering dilabel pelajar bodoh dan lembab, selain diabaikan kerana guru juga tidak mempunyai masa cukup memberikan tumpuan lebih terhadap murid disleksik. Bayangkan, anda dilabel bodoh dan lembab sepanjang waktu? Bukankah ia mempunyai kesan buruk, sedangkan anda tahu anda bijak,???

Disleksia adalah masalah kesukaran pembelajaran, yang memberikan kesan terhadap pembacaan, ejaan, menulis dan mengingat. Ia adalah kesan daripada kerosakan kebolehan otak untuk mentafsirkan imej yang diterima menerusi penglihatan atau pendengaran untuk diterjemahkan dalam bentuk bahasa yang difahami.

Individu disleksia memiliki beberapa kelemahan termasuk melihat huruf secara terbalik seperti 'was' sebagai 'saw', 'b' sebagai 'd' atau 'p' sebagai 'q'. Kesukaran dalam memahami, mengingat atau mengulang apa yang disebut melalui tulisan dan mempunyai tulisan yang tidak cantik.

Sariah berkata, pengesanan awal amat membantu kanak-kanak berkenaan hidup menikmati kehidupan bermutu dan memudahkan mereka belajar membaca serta menulis dengan baik. Sungguhpun hari ini ada sekolah yang memiliki kelas untuk murid disleksik, masih banyak sekolah tidak memilikinya, malah hanya boleh menempatkan cuma 20 murid pada sesuatu masa, sedangkan kajian menunjukkan lebih 500,000 kanak-kanak sekolah menderita akibat disleksia.

Menangani masalah berkenaan, katanya, persatuan itu bersedia melatih guru menangani kanak-kanak disleksik sekiranya Kementerian Pendidikan benar-benar serius menangani isu berkenaan.

"Kita perlu faham bahawa kanak-kanak ini bukanlah sakit atau menghadapi gangguan mental, sebaliknya kebolehan dari segi pembelajaran. Berbekalkan kesabaran dan teknik yang betul, kanak-kanak ini mampu menangani masalah yang mereka hadapi itu.

"Individu disleksik adalah insan pintar dan sekiranya kita terus mengabaikan, mungkin kita kehilangan saintis, doktor serta bijak pandai kerana ramai orang hebat di dunia, juga disleksik. Kanak-kanak yang diabaikan ini membolehkan mereka terjerumus dalam kancah sosial yang merosakkan," katanya.

Mengulas mengenai pembiayaan kos ditanggung persatuan berkenaan, Sariah berkata, menjalankan kerja mengajar dan program kesedaran, persatuan itu bergantung sepenuhnya daripada derma serta sumbangan korporat.

Puluhan ribu diperlukan setiap bulan membabitkan gaji guru dan pekerja, selain sewa yang perlu dibayar bagi membolehkan persatuan terus berbakti kepada pihak memerlukan.

Sariah berkata, persatuan berkenaan ditubuhkan sejak 1993 dan banyak menganjurkan seminar serta bengkel membolehkan kanak-kanak disleksik terus belajar dan mampu kembali seperti normal yang tidak mungkin boleh didapati di sekolah biasa,

"Kanak-kanak ini bukan sepenuhnya belajar di sini, sebaliknya akan ada beberapa kelas dan dalam tempoh tertentu untuk mereka belajar dan teknik pembelajaran diberikan adalah berbeza. Dengan jumlah murid yang kecil seperti lima orang, guru akan mampu memberikan perhatian sepenuhnya.

"Sekiranya di sekolah, kanak-kanak ini belajar bahasa Melayu, kita di persatuan pula mengajarnya dalam bahasa Inggeris dan matematik. Selama tiga bulan pembelajaran komprehensif, selebihnya mereka boleh menghadiri kelas tambahan," katanya.

Continuation to this reading --> please read http://shaza79.blogspot.com/2010/03/setahun-berlalu.html

No comments: