Thursday, March 29, 2012

Disleksia

copy from http://shaza79.blogspot.com/2010/03/disleksia.html for my easy reference.

500,000 kanak-kanak di negara ini hidap disleksia dan ada tidak disedari ibu bapa


RAKAN sebaya anak anda seronok setiap pagi untuk ke sekolah, tetapi anak anda bersikap sebaliknya. Jika menghadapi masalah sebegitu, anda dinasihatkan supaya mencari jawapan di sebalik alasan diberikan bagi mengenal pasti masalah dihadapi.

Kerap gagal dalam ujian diberikan, selain gagal mengikuti pengajaran guru menyebabkan kanak-kanak itu sering dilabelkan sebagai murid lembab dan nakal, sekali gus memberikan kesan mendalam kepada murid berkenaan yang rata-ratanya mereka sendiri mungkin tidak tahu bagaimana untuk diluahkan kepada ibu bapa atau guru, apa sebenarnya yang mereka hadapi.

Tanda yang ditunjukkan anak berkenaan, mungkin sebenarnya disebabkan masalah lain termasuk menghidap disleksia yang memungkinkan berlaku kesukaran kepada hidupnya kerana kanak-kanak disleksik bermasalah dari segi pembelajaran.

Maklumat yang menakutkan, apabila anak berkenaan tidak dibantu pada peringkat awal lagi, beliau akan menjadi remaja bermasalah. Sungguhpun ramai orang ternama dunia termasuk Albert Einstein, Winston Churchill, Walt Disney, Tom Cruise, Leonardo Da Vincci, selain data menunjukkan kira-kira 30 peratus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat ternama juga adalah disleksik yang membuktikan penghidap disleksia boleh menikmati kehidupan cemerlang, pada masa sama kajian di Amerika Syarikat (AS) mendapati 50 peratus banduan di negara itu adalah penghidap penyakit berkenaan.

Senario itu membuktikan kanak-kanak yang dibantu boleh menjadi manusia berguna, sebaliknya sekiranya dibiarkan begitu saja, boleh memberikan kesan negatif pada masa depannya.

Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin, berkata sungguhpun isu berkenaan menjadi masalah 'cukup tua' dikesan di dunia, kesedarannya masih berada di takuk lama yang mana ibu bapa, malah guru masih belum memahami sepenuhnya dan kanak-kanak disleksik terus terbiar tanpa bantuan.

"Kanak-kanak disleksik masih ramai terabai kerana masih ramai guru yang gagal memahami karakter disleksia. Sekiranya mereka mengetahuinya, mereka tidak memiliki kemahiran khusus. Dengan kekurangan tenaga pengajar yang mahir, kanak-kanak yang sepatutnya mendapat tunjuk ajar khusus, sebaliknya bercampur satu kelas dengan murid normal.

"Apabila bercampur, mereka sudah pasti tidak menunjukkan prestasi membanggakan, sering dilabel pelajar bodoh dan lembab, selain diabaikan kerana guru juga tidak mempunyai masa cukup memberikan tumpuan lebih terhadap murid disleksik. Bayangkan, anda dilabel bodoh dan lembab sepanjang waktu? Bukankah ia mempunyai kesan buruk, sedangkan anda tahu anda bijak,???

Disleksia adalah masalah kesukaran pembelajaran, yang memberikan kesan terhadap pembacaan, ejaan, menulis dan mengingat. Ia adalah kesan daripada kerosakan kebolehan otak untuk mentafsirkan imej yang diterima menerusi penglihatan atau pendengaran untuk diterjemahkan dalam bentuk bahasa yang difahami.

Individu disleksia memiliki beberapa kelemahan termasuk melihat huruf secara terbalik seperti 'was' sebagai 'saw', 'b' sebagai 'd' atau 'p' sebagai 'q'. Kesukaran dalam memahami, mengingat atau mengulang apa yang disebut melalui tulisan dan mempunyai tulisan yang tidak cantik.

Sariah berkata, pengesanan awal amat membantu kanak-kanak berkenaan hidup menikmati kehidupan bermutu dan memudahkan mereka belajar membaca serta menulis dengan baik. Sungguhpun hari ini ada sekolah yang memiliki kelas untuk murid disleksik, masih banyak sekolah tidak memilikinya, malah hanya boleh menempatkan cuma 20 murid pada sesuatu masa, sedangkan kajian menunjukkan lebih 500,000 kanak-kanak sekolah menderita akibat disleksia.

Menangani masalah berkenaan, katanya, persatuan itu bersedia melatih guru menangani kanak-kanak disleksik sekiranya Kementerian Pendidikan benar-benar serius menangani isu berkenaan.

"Kita perlu faham bahawa kanak-kanak ini bukanlah sakit atau menghadapi gangguan mental, sebaliknya kebolehan dari segi pembelajaran. Berbekalkan kesabaran dan teknik yang betul, kanak-kanak ini mampu menangani masalah yang mereka hadapi itu.

"Individu disleksik adalah insan pintar dan sekiranya kita terus mengabaikan, mungkin kita kehilangan saintis, doktor serta bijak pandai kerana ramai orang hebat di dunia, juga disleksik. Kanak-kanak yang diabaikan ini membolehkan mereka terjerumus dalam kancah sosial yang merosakkan," katanya.

Mengulas mengenai pembiayaan kos ditanggung persatuan berkenaan, Sariah berkata, menjalankan kerja mengajar dan program kesedaran, persatuan itu bergantung sepenuhnya daripada derma serta sumbangan korporat.

Puluhan ribu diperlukan setiap bulan membabitkan gaji guru dan pekerja, selain sewa yang perlu dibayar bagi membolehkan persatuan terus berbakti kepada pihak memerlukan.

Sariah berkata, persatuan berkenaan ditubuhkan sejak 1993 dan banyak menganjurkan seminar serta bengkel membolehkan kanak-kanak disleksik terus belajar dan mampu kembali seperti normal yang tidak mungkin boleh didapati di sekolah biasa,

"Kanak-kanak ini bukan sepenuhnya belajar di sini, sebaliknya akan ada beberapa kelas dan dalam tempoh tertentu untuk mereka belajar dan teknik pembelajaran diberikan adalah berbeza. Dengan jumlah murid yang kecil seperti lima orang, guru akan mampu memberikan perhatian sepenuhnya.

"Sekiranya di sekolah, kanak-kanak ini belajar bahasa Melayu, kita di persatuan pula mengajarnya dalam bahasa Inggeris dan matematik. Selama tiga bulan pembelajaran komprehensif, selebihnya mereka boleh menghadiri kelas tambahan," katanya.

Continuation to this reading --> please read http://shaza79.blogspot.com/2010/03/setahun-berlalu.html

Dysprexia - Kelam kabut sindrom penyakit

KESIHATAN

Oleh SHANIKA ABADULLATIB

Dysprexia umumnya tidak mampu dilihat dengan mata kasar kerana ia melibatkan ketidakjajaran antara arahan dari otak dan pergerakan tangan atau kaki pada masa yang sama.

SEIMBAS pandang, pelajar lelaki berusia 10 tahun yang dikenali dengan nama ringkasnya, Alim langsung tidak berbeza dengan rakan-rakan sebayanya yang lain sehinggalah guru sekolahnya kerap menegur tingkah lakunya yang suka melanggar meja dan kerusi secara sembrono.

Suatu hari, gurunya melihat koordinasi pergerakan Alim agak berbeza berbanding rakan-rakannya termasuk lambat dalam menyalin sesuatu yang ditulis di papan tulis, lalu akhirnya dia menyarankan agar Alim dibawa berjumpa pakar perubatan.

Diagnosis dan ujian yang dijalankan mendapati, tingkah laku kelam-kabut Alim itu sebenarnya berpunca daripada abnormaliti pada sistem motor dan saraf dalam tubuhnya.

Dikenali sebagai Dysprexia, penyakit ini umumnya tidak mampu dilihat dengan mata kasar kerana ia melibatkan ketidakjajaran antara arahan dari otak dan pergerakan tangan atau kaki pada masa yang sama.

Pakar Runding Psikitri Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh menjelaskan, dysprexia yang banyak dihadapi kanak-kanak lelaki sebenarnya mampu dikesan dari awal lagi.

Gagal ikat tali kasut

“Dysprexia atau istilah mudahnya sindrom kanak-kanak kelam-kabut, merupakan satu keadaan yang tidak ubah seperti autisme, dylexia, dan kanak-kanak hiper aktif (ADHD).”

“Namun yang membezakannya ialah dysprexia melibatkan ketidakjajaran pergerakan motor anggota badan dan otak,” jelasnya.

Tambah Nor Hamidah, simptom awal dysprexia boleh dikesan pada setiap peringkat perkembangan motor bayi iaitu daripada merangkak dan berjalan.

Daripada perkembangan ini, pakar akan melihat sebarang abnormaliti yang wujud terutamanya dari aspek mengimbangkan diri, sensitiviti terhadap sentuhan dan pergerakan fizikal yang berterusan.

“Paling mudah untuk mengesannya ialah kanak-kanak tersebut sukar mengimbangi diri ketika berbasikal, mengikat tali kasut serta sering melanggar objek sewaktu berjalan,” ujarnya.

Pelakon remaja yang terkenal menerusi siri filem Harry Potter, Daniel Radcliffe sebagai contoh, merupakan salah seorang pengidap dysprexia. Meskipun, tidak mempunyai masalah untuk menghafal skrip filem-filem lakonannya, Radcliffe akan menghadapi masalah apabila mahu mengikat tali kasutnya.

“Disebabkan gagal melakukan perkara semudah mengikat tali kasut, saya melalui fasa kehidupan yang sukar ketika zaman persekolahan dulu,” ujarnya kepada akhbar Britain, Daily Mail.

Kesukaran kawal pernafasan

Dalam pada itu, selain melibatkan pergerakan, Dysprexia Oral pula merupakan gangguan melibatkan ketidakjajaran perkembangan linguastik atau fonologi ketika bercakap.

“Masalah ini akan menyebabkan pesakit sukar mengawal organ pertuturan, membuat bunyi-bunyian, serta menyatakan perkataan secara berturut-turut termasuk membina ayat daripada perkataan,” jelas Nor Hamidah.

Bukan itu sahaja, mereka juga mengalami kesukaran mengawal pernafasan dan lambat dari segi perkembangan bahasa.

Bagi pengawalan koordinasi motor halus, ia mengakibatkan pesakit termasuk individu pada peringkat dewasa mengalami masalah untuk menulis dengan tangan.

Lebih malang, ketidakseimbangan koordinasi ini turut membuatkan pesakit sukar menjalani rutin harian seperti membutangkan baju, menggunakan sudu dan garpu serta membuka penutup botol.

“Koordinasi yang tidak simbang melibatkan saraf motor ini akan berterusan dan menyebabkan pesakit sering terlanggar objek, tidak kira kecil atau besar,” ujarnya.

Tambah beliau, kes terjatuh tanpa sebab, tidak dapat mengagak kedudukan objek serta gagal melakukan dua tugasan serentak juga merupakan sebahagian daripada masalah dysprexia.

“Ada kes yang lebih teruk, mereka sukar mengesan arah kanan atau kiri apabila mata ditutup serta terlupa pada pergerakan seterusnya ketika melakukan sesuatu seperti ketika sedang berjalan,” kata Nor Hamidah.

Tiada rawatan khusus

Menyentuh mengenai rawatan, Nor Hamidah menjelaskan bahawa tiada rawatan khusus bagi penyakit namun rawatan terapi dapat memperbaiki koordinasi pergerakan pesakit ini.

Nor Hamidah memberitahu, sekiranya dibiarkan begitu sahaja, kanak-kanak tersebut akan membesar dengan keadaan kurang keyakinan diri, pemalu, kurang matang dan sensitif.

“Disebabkan itu, kanak-kanak yang mengalami masalah tersebut perlu dibiarkan bermain dengan pasir, tanah liat termasuk memanjat serta berlari di taman permainan bagi melatih koordinasi dan sensitiviti pergerakan motor tubuh,” jelasnya.

SUMBER: Kosmo Online!
credit to http://ceritarasahati2.blogspot.com/2009_10_01_archive.html

Dyslexia Association Centres

Head Office: JKR 3488, Jalan Ampang hilir 4, 55000 Ampang, Kuala Lumpur. Tel 03-4251 5618


Subang Branch: 2, Jalan USJ 6/2B, 47610, UEP Subang. Tel: 03-5631 3919
New Address: 2, Jln USJ 4/4B Subang UEP. Tel: 8023 0919



Titiwangsa Branch: 6, Persiaran Kuantan, Setapak, Kuala Lumpur. Tel: 03-4025 5109

45,000 budak hidap Disleksia

Sumber : BHarian 24/03/2012Ms.Wiki ~ Disleksia
terima kasih kepada BawanGoreng kerana share artikel ni di yahoogroups.

Assalamualaikum dan salam sejahtera,



Amat mengejutkan berita yang dibaca di BHarian 24/03/2012. Menurut berita yang dilaporkan, kira-kira 50% daripada lebih 90,000 kanak-kanak negara ini yang menghidapi masalah pembelajaran sejak usia lima hingga enam tahun berpunca daripada masalah Disleksia. Perangkaan diterima Persatuan Disleksia Malaysia daripada Kementerian Pelajaran mendapati nisbah menunjukkan lima daripada 100 orang kanak-kanak berpotensi mengalami keadaan itu dan ia amat membimbangkan.

Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin, berkata pihaknya kini dalam usaha merancang bersama kementerian bagi mewujudkan satu program khusus untuk kanak-kanak yang menghidap Disleksia supaya ditempatkan dalam kelas khas dan diajar guru khas. Kebanyakan sekolah tidak dapat mengesan penghidap Disleksia selagi kanak-kanak itu belum menjalani pemeriksaan, justeru mereka cenderung meletakkan mereka dalam kelas pendidikan khas dengan alasan mengalami kesukaran dalam pembelajaran.

Menurut Sariah lagi, program dalam pendidikan khas kurang sesuai untuk penghidap Disleksia, sebaliknya mereka memerlukan program dan kaedah pembelajaran khusus bagi mengatasi masalah ini. Adalah difahamkan, ada sesetengah sekolah memberi kad Orang Kurang Upaya (OKU) kepada pelajar Disleksia, sedangkan mereka bukan mengalami penyakit yang kronik, tetapi hanya keadaan mereka yang sukar mengenal huruf, membaca, menulis, mendengar dan bertutur.

Apa itu disleksia?

Disleksia bukannya satu penyakit, tetapi merupakan salah satu gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Lazimnya, masalah pembelajaran yang dihadapi adalah seperti membaca, menulis, mengeja, dan kemahiran mengira. Oleh itu disleksia merujuk kepada mereka yang menghadapi masalah untuk membaca dan menulis walaupun mempunyai daya pemikiran yang normal.

Mereka yang mempunyai disleksia bukannya menghadapi kecacatan malah sebahagian daripada orang-orang yang terkenal juga mempunyai disleksia. Sesetengah mereka yang mempunyai keadaan disleksia mempunyai kesukaran untuk menyebut perkataan yang panjang, sukar mempelajari turutan seperti nama bulan, dan sifir. Setiap orang yang menghidap disleksia mempunyai masalah yang tidak serupa dengan penghidap yang lain.

Disleksia juga bukan disebabkan kecerdasan yang lemah serta penglihatan tetapi penghidap disleksia tidak mengecam sesuatu dalam keadaan terbalik. Ternyata sekali disleksia menghuraikan sesuatu kelainan dalam otak, selalunya ia adalah pemberian Tuhan yang terus berkembang dalam diri seseorang dengan cara yang berlainan.

Kanak-kanak yang mengalami disleksia bukanlah tergolong dalam golongan yang bodoh. Daripada kajian-kajian mendapati mereka mempunyai tahap kecerdasan intelektual yang normal dan tidak mempunyai masalah pendengaran dan penglihatan. Ibu bapa mempunyai banyak pilihan untuk memberi pendidikan berterusan kepada anak-anak dengan memilih menghantar mereka ke sekolah biasa yang mempunyai kelas khas disleksia seliaan JPN atau mendapatkan nasihat daripada JKM untuk menghantar anak-anak ke Pendidikan Khas. Kanak-kanak ini akan diberikan bimbingan dengan betul untuk berdikari tanpa memerlukan bantuan ibu bapa apabila dewasa.

Ciri-ciri penghidapnya


♥ Selalunya dikesan pada peringkat awal persekolahan kanak-kanak.


♥ Lambat membaca dan mempunyai tulisan tangan yang buruk.


♥ Ketika membaca, sering mengurang dan menambah pada sesuatu perkataan.


♥ Sering keliru dengan sesuatu perkataan pada huruf-huruf tertentu contohnya 'b' dianggap 'd' dan 'p' dianggap 'q'.


♥ Perhatian mudah terganggu atau gagal untuk menghabiskan sesuatu kerja hingga habis.


♥ Cenderung menjadi seorang yang impulsif atau sering mengikut perasaan sendiri tanpa memikirkan orang lain.


♥ Sering berlaku di kalangan lelaki.


♥ Kerap berlaku di kalangan pasangan kembar, kanak-kanak yang lahir tidak cukup bulan, anak-anak yang lahir daripada ibu yang sudah berumur, dan kanak-kanak yang pernah mengalami kecederaan pada kepala.


♥ Masalah disleksia boleh berlanjutan sehingga dewasa.

Punca-punca disleksia

Mengikut Mercer, 1997; Hammond dan Hughes, 1996 dan Spaafford dan Grosser,1996, antara punca-punca disleksia ialah;

• Keturunan atau genetik

o Kebanyakan kes, terdapat beberapa ahli keluarga yang mengalami masalah-masalah yang sama. Kemungkinan punca ini boleh diwarisi yang membezakan adalah darjah keterukannya. Terdapat kajian yang dijalankan telah membuktikan disleksia desebabkan oleh kromosom 15, 1 dan 16 yang boleh diperturunkan secara turun-temurun

• Biologi

o Sejarah kanak-kanak disleksia biasanya adalah semasa dilahirkan tidak cukup bulan, kekurangan oksigen semasa dilahirkan atau kelahiran yang amat sukar. Faktor-faktor ini menjadi punca kelambatan atau ketidaksempurnaan perkembangan. Sebahagian daripada kerosakan otak yang menyebabkan kanak-kanak ini mengalami masalah belajar dan kerosalan ini minimum

• Kematangan

o Terdapat kanak-kanak yang lambat perkembangnya pada banagian tertentu dalam sisitem saraf. Pada kebiasannya kanak-kanak lelaki lambat matang daripada kanak-kanak permepuan. Kelewatan kematangan pada kank-kanak merupakan salah satu kemungkinan punca disleksia

Rawatan untuk kanak-kanak disleksia

Berikut adalah beberapa cadangan untuk rawatan kanak-kanak disleksia. Apa pun ia bergantung kepada kesesuaian keadaan kanak-kanak.

1. Membawa berjumpa dengan pakar pisikologi pembelajaran atau psikologi klinikal pada peringkat awal.

2. Membantu kanak-kanak memahami bahawa walaupun dia mungkin berbeza dalam banyak hal tetapi tetap disayangi.

3. Menambah dan menggalakkan sebarang kemahiran istimewa bakat atau kebolehan semulajadi.

4. Sentiasa sabar melayani karenah mereka yang mana biasanya kecewa dengan kegagalan yang berterusan.

5. Membacakan cerita untuk anak-anak dan sentiasa mendampingi mereka.

6. Memberikan bantuan dan latihan pembelajaran sebelum memasuki tadika.

7. Mengamalkan suasana kasih sayang serta bersikap perihatin dalam mengekalkan suasana harmoni.

8. Membuat aktiviti berkeluarga serta memberi bimbingan dalam bidang akademik.

9. Mengamalkan konsep diri diberi ganjaran atau pujian contohnya bagus, pandai.